Saturday, March 19, 2011

RUMAHKU syurgaku

Rumah Kami

Saya tidak mempunyai memori tentang keadaan rumah saya yang asal pada mula2 Ayah dan Mak berpindah. Rumah standard yang pihak Felda sediakan. Tetapi melihat rumah jiran sebelah rumah saya, saya dapat bayangkan.

Rumah hadapan kami sama – ianya sebuah rumah papan berbumbung asbestos. Ianya mempunyai 1 bilik tidur, 1 ruang tamu, 1 bahagian dapur kecil, dan bahagian beranda kecil yang lantainya berlubang2. Owh itu bukan lubang2 bocor ya, tetapi papannya di susun jarak2. Cuma bahagian dapur rumah papan itu bukanlah dapur kami lagi, tetapi telah menjadi bahagian bilik. Dapur kami adalah sebuah rumah separa papan, separa batu, lantainya simen, berbumbung zink. Ada juga ruang makan yang agak luas. Saya dengar ruang tambahan yang Ayah bina itu dengan duit hasil jualan rumah lama di Kuala Lumpur dahulu. Maknanya semenjak saya mengenali dunia, mempunyai memori tentang rumah kami, memang telah ada ruang itu.

Saya ingat tentang ruang tambahan beratap zink dan rumah asal standard Felda . Ketika waktu hujan lebat kami akan tadahkan air dengan besen kerana bumbung bocor.

Bilik air juga di dalam rumah, tidak seperti mula2 mereka berpindah bilik air di luar rumah. Mungkin itu bilik air standard Felda sediakan. Bilik air jiran saya masih juga diluar, jadi saya tahu bentuk asalnya. Malah tapak bilik air yang mula2 itu pun masih ada di bahagian luar tepi rumah kami. Tapak lama itu lantai simen sahaja ya, tidak ada dinding ataupun batang paip lagi. Tandas, ataupun Jamban masih diluar rumah, di bahagian belakang. Jamban itu dindingnya papan, dan tidak ada kunci bahagian dalam. Tetapi memang pintunya tidak akan terbuka kalau tidak ada ada orang yang membukanya. Pintu itu papan yang berat, dan sentiasa rapat. Bekalan air pun tidak ada di jamban. Jadi kami kenalah mengangkut baldi air sendiri dari bilik air di dalam rumah. Kalau malam tiba, memang agak seram hendak pergi sendiri menunaikan hajat. Jarak dari dapur rumah kira2 10 meter sahaja, tetapi gelap.

Bekalan Elektrik

Bekalan air memang telah sedia ada di Felda awal2 lagi. Bagaimanapun, bekalan elektrik wujud ketika saya di sekolah rendah. Mungkin ketika saya berumur 7 atau 8 tahun.

Sebelum wujudnya bekalan elektrik, saya masih ingat Ayah akan nyalakan lampu gasoline setiap hari apabila menjelang maghrib. Semasa hari Ahad pula Mak akan membakar tempurung sampai menjadi bara lalu diisikan ke dalam seterika besi untuk menyerika baju sekolah kami adik beradik. Kakak dan Abang saya menyiapkan kerja sekolah pada malam hari diterangi cahaya pelita dan lampu gasoline. Saya tidak ingat adakah saya juga sempat merasai menyiapkan kerja sekolah di dalam cahaya pelita atau pun lampu gasoline. Tapi saya ingat ketika berumur 6 tahun semasa saya mandi dan bersiap untuk ke sekolah Tadika memang dalam cahaya pelita dan lampu gasoline. Untuk menonton telivesyen hitam-putih pula, ianya dicaskan dengan bateri air. Kalau hampir habis kuasa bateri itu, siaran akan terganggu sehingga tamat terus. Kami akan dapat menonton apabila Ayah mengisi air bateri di daerah Felda sebelah. Saya selalu mengikut Ayah dengan duduk di depan kerusi depan motorsikal. Kebiasaannya saya duduk didalam bakul motorsikal, tetapi itu diletakkan dengan bateri. Jikalau Abang juga mahu mengikut Ayah, kami berdua akan duduk dibelakang Ayah – bahagian belakang motorsikal.

Talian Telefon

Talian tetap telefon di rumah2 pula wujud kira2 saya berumur 10 atau 11 tahun. Sebelum wujudnya talian telefon, Ayah dan Mak akan menaiki motorsikal (dengan diikuti saya pastinya) ke Gatcho, iaitu pekan kecil yang dihuni kaum India yang perjalanannya selama lebih setengah jam untuk menggunakan perkhidmatan telefon. Ketika itu Kakak saya telah bersekolah menenah di asrama di Seremban. Jadi Ayah dan Mak akan menghubungi Kakak menggunakan telefon.

Perkhidmatan Bas

Bas awam cuma melalui simpang luar kawasan Felda kami. Bas awam yang ada disediakan oleh dua syarikat bas iaitu LTS dan **** (saya tidak ingat 1 lagi nama syarikat bas itu). Bas2 itu adalah bas lama, tanpa aircond dan berlantai kayu dan bunyi yang dahsyat…bunyi benda lama2….

Ianya jauh dari mana2 rumah di Felda kami. Jika saya mahu ke pekan Bahau ataupun dengan keluarga, Ayah akan memakir motorsikalnya di perhentian bas di simpang luar Felda kami. Kemudian kami sama2 menaiki bas ke pekan Bahau. Semasa kecil saya sangat tidak boleh menaiki bas, mesti akan muntah. Jadi Mak akan sediakan plastic untuk saya muntah.

Kadang2 jika hanya Ayah, Mak dan saya sahaja kami akan menaiki motorsikal ke pekan. Ini lebih bagus kerana saya tidak muntah.

Saya mula menaiki bas sendiri dengan kawan2 ketika berumur 13 tahun, iaitu semasa saya mula bersekolah asrama yang jaraknya kira2 60 kilometer dari rumah kami. Saya akan menaiki bas LTS ataupun bas **** ke pekan Bahau. Kemudian bertukar Bas United ataupun Starise ataupun Transnasional ke Kuala Pilah. Bas2 ini lebih baik dan baru dari bas LTS dan bas ****. Anehnya semenjak itu saya tidak lagi muntah sampai sekarang. Malah bila saya sakit pun, amatlah susah untuk saya muntah.

Sekarang

Keadaan rumah saya di Felda sudah mula berbeza sejak 3 tahun lalu. Rumah batu berbumbung merah dan bersiling. Mempunyai 4 bilik tidur dan 3 bilik air. Ruang tamu yang pada saya agak besar dengan lampu candeliar. Setiap ruang mempunyai lampu dan kipas. Bilik air utama dilengkapi heater. Beranda juga pada saya luas dan keliling rumah berpagar. Rumah saya bukanlah seperti rumah orang2 kaya, jadi ianya bukan tersergam indah. Tetapi saya selesa dengan yang ini. Dan sudah terlalu cukup kalau mahu dibanding dengan rumah lama saya. Proses menjadi rumah yang completely berbeza itu memakan masa yang lama. Pernah kami hanya tinggal di suatu bahagian rumah yang kecil, manakala bahagian lain dirobohkan untuk membina rumah baru. Kami dapat melihat langit malam, ataupun rintik hujan kerana bumbung telah lobos…. Setahu saya, kalau di Kuala Lumpur ini ketika proses untuk renovate rumah, keluarga akan tinggal di rumah yang lain. Itu bukan bagi kami golongan yang biasa ini. Kemana lagi untuk kami tinggal selain ditapak robohan itu juga?

Telivesyen telah lama bertukar. Dari tv hitam putih kepada tv warna 14 inch. Lama kami menggunakan tv 14inch itu sehingga rosak. Kemudian diganti tv 21 inch dan tv warna 32 inch berserta sound system dan astro. Cukuplah 2 biji itu selagi boleh guna walaupun sekarang LCD tv yang orang guna....

Talian telefon tetap masih sedia ada dirumah saya meski pun setiap orang dalam keluarga mempunyai telefon bimbit. Tetapi saya sendiri sudah lama tidak menggunakan telefon talian tetap itu.

Keadaan perkhidmatan bas yang diceritakan tadi sampai sekarang ya. Yang bezanya hanyalah tambang yang telah naik. Saya dan keluarga juga sudah tak naik bas lagi kerana mempunyai kereta sendiri. Lagi pula, perjalanan ke pekan Bahau dengan bas adalah lebih kurang 45 minit, dengan kereta hanya 20 minit.

Keadaan berbeza, rasa juga berbeza, tetapi ingatan tetap sama. Kerana ingatan adalah berasal dari keadaan dan rasa yang pernah dinikmati. Saya tidak pernah merasakan kehidupan saya daif, tetapi saya tahu saya bukan orang berada. Saya juga punyai masalah kewangan kadang2, dan banyak keinginan tak dapat dituruti. Tetapi saya pasti tentang ini, saya suka dengan hidup saya di Felda. Malah kalau hampir sebulan saya tidak balik ke rumah, saya semacam sakit kepala. Meski pun Ayah dan Mak saya selalu ke Kuala Lumpur dan saya berpeluang melepaskan rindu dengan Ayah dan Mak juga adik beradik yang lain, tetap juga hendak balik ke rumah itu. Sakit kepala kerana rindu barangkali dengan ingatan itu….maka saya mahu tetap melihat keadaannya dan merasa kenikmatannya hidup di rumah itu...merasa empuknya tilam saya yang tidak begitu empuk itu…..Rumahku, syurgaku.

No comments: