
Saya sudah menghuni di rumah sewa ini selama 2 tahun. Ianya rumah flat 5 tingkat yang tidak mempunyai lift. Rumah yang saya huni di tingkat 4. Mak saya yang kadang2 berkunjung ke mari selalu terpaksa berhenti berehat sebentar di tingkat ke-2 atau ke-3 kerana terlalu tinggi baginya yang berumur hampir 60 tahun itu.
Saya mula menghuni rumah ini apabila saya diterima bekerja di sebuah firma audit. Ketika itu saya tidak begitu mahir dan masih takut2 untuk memandu kereta sendiri ke pejabat. Jadi saya menghuni rumah ini kerana senang untuk mendapatkan perkhidmatan bas awam. Rumah ini tidaklah begitu dekat dengan firma audit itu tetapi saya menyewanya kerana harganya yang lebih murah berbanding rumah2 yang berdekatan dengan firma audit itu. Ada hikmah di sebaliknya. Ini kerana saya mula berani dan memaksa diri saya memandu kereta walaupun tersangatlah gementar.
Saya ingat lagi ketika 2 minggu pertama bekerja saya berulang-alik dengan bas walaupun Ayah meminjamkan kereta kepada saya. Saya memaksa diri memandu kereta Ayah apabila serik terpaksa balik pada jam 4 pagi pada suatu hari. Sebenarnya saya tidak balik rumah pun kerana tiada lagi perkhidmatan bas pada waktu sebegitu. Jadi saya tidur selama 2 jam lebih di surau di firma itu dan bangun pada subuhnya. Selepas menunaikan solat subuh, saya menaiki bas yang telah mula beroperasi pada pagi itu untuk balik ke rumah. Sampai rumah saya bersiap dan menaiki bas dan kembali semula ke tempat kerja. Hari itu saya dapat pulang ke rumah lebih awal dari kebiasaanya.
Maka saya memberanikan diri memandu kereta Ayah ke pejabat. Itulah pertama kali saya memandu kereta sendirian. Saya tidak lagi takut memandu kereta.
Pengalaman ini membuatkan saya semakin selesa tinggal di rumah sewa ini selama 2 tahun. Kawasan ini saya kira selamat dihuni dan dekat dengan kemudahan awam. Kawasan parking kereta juga sangatlah senang. Mudah kerana tiada "double parking" walaupun saya pulang pada lewat malam.
Walaupun saya pernah berfikir untuk berpindah terutama selepas bertukar kerja di tempat yang lebih jauh, saya masih lagi duduk selesa di rumah sewa ini. Saya telah membuat keputusan untuk tinggal di rumah sewa ini sehingga saya mempunyai rumah sendiri ataupun jika Tuan Rumah meminta saya berpindah atau pun atas sebab lain seperti berkahwin dan mengikut suami saya...hehe.
Sekarang saya mencari housemate baru kerana salah seorang penyewa telah berpindah keluar kerana berkahwin. Semalam baru sahaja saya dan seorang lagi housemate menghadiri majlis perkahwinannya di Batu Gajah, Perak. Saya harap saya akan menjumpai housemate baru yang baik seperti penyewa2 sebelum ini. Sebenarnya penyewa asal yang tinggal di rumah ini sebelum saya ada 2 orang. Selepas mereka berpindah, teman sekerja saya berpindah masuk ke salah sebuah bilik dan kekal hingga ke hari ini. Satu lagi bilik pernah dihuni oleh 2 orang yang lain. Seorang cuma tinggal selam beberapa bulan sebelum dia berpindah ke Melaka. Seorang lagi adalah penyewa yang kami hadiri majlis perkahwinannya itu.
Saya harap semuanya akan dipermudahkan Allah. Ini juga adalah rumah saya yang layak digelar, "Rumahku, syurgaku".
No comments:
Post a Comment